Hati dan Minda

Bilamana kamu sudah kenal hakikat diri maka kamu perlu menjadi hamba yang arif dalam diri kepadaNYA,mengenal sifat dan af'aal tuhanNYA, serta asma',kenal zahir dan batin,tahu buruk dan baik,sama ketika suka dan duka,tidak pula suka bila di puji,tidak berasa sedih bila dikeji.

Antara hitam dan putih hatimu

Bilamana kamu merasakan seronoknya hal dunia,sehingga kamu tidak takut ancaman Allah,maka hitamlah hatimu,jika kamu merasakan sebaliknya maka benarlah bahawa kamu menggunakan dunia sebagai jambatan ke akhirat,berbahagialah kamu yang bergelar hamba Allah.

Hatimu dan pertolonganmu keranaNYA

Kamu faham akan kata nabimu bahawa Allah akan menolong kamu jika kamu menolong agamaNYA,hati kamu wajib memahami dan kenalNYA sesungguh-sungguhnya,kamu yakin di hatimu bahawa Allah lah penolong bagimu,namun adakah antara kamu yang benar-benar mengikut kata nabimu,dan apakah kamu sudah kenal Allah dengan sebaiknya?Hapuslah penghalang dihatimu yakni syirik,barulah kamu akan bersua jalan cahaya Allah.

Hati dan keikhlasanmu

Keikhlasan yang kamu tunjulkan ke jalan Allah dan kepada hak Allah,maka sesungguhnya kamu akan dicermin biaskan olehNYA kepada makhlukNYA,hanya hamba yang diberi dan mencari ilmu, akan mengetahui hakikat sebenar ke dalam hati setiap hambaNYA dan akan terpantul makrifatNYA.Ketaqwaan dan keikhlasan terhadap Allah serta mencari keredaanNYA adalah hamba Allah yang disukaiNYA.

Hati dan nafsumu

Sekiranya kamu bermohon,berbicara atau berkata-kata,maka hendaklah kamu dahulukan hak Allah,bukan dari hati yang penuh dengan nafsumu.

Hak Allah di hatimu

Selalulah kamu ingatkan hatimu bahawa setiap pemberian itu adalah hak Allah kepadamu.Janganlah kamu berkata atas kehebatanmu,kelebihanmu namun kamu wajib buangkan segala perkataan dan pandangan akan segalanya dirimu,sebaliknya kamu harus faham bahawa Allah yang memberi akan hakNYA kepadamu sebagai ujian atau rahmatNYA.Bantulah agama Allah jika apa-apa yang berlaku di hadapanmu,umpamanya jika kamu memberi makan,atau pertolongan  kepada hambaNYA,berikan mengikut apa yang dikurniakan kepadamu dengan ikhlas tanpa ada keraguan dan kejahatan nafsu di hatimu.

Pandanglah mata hatimu akan kehebatanNYA,jika kamu pandang dengan keangkuhan hatimu maka kamu telah pandang pada musuh yang nyata,yakni iblis.

Tetapkan kalimah di hatimu

Bila mana di uji dengan sesuatu yang kamu tidak suka atau tidak kena dengan nafsumu,maka pantaslah kamu ingatkan di hatimu bahawa Allah ada bersamamu dan nabi Muhammad itu kamu turuti akhlaknya,maka beruntunglah kamu jika kamu ikhlas keranaNYA.Sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran yang besar kepadamu.Kamu akan mendapat ganjaran dan kebaikkan sewaktu di uji dan selepas di uji.Hanya dengan mata hati yang bercahaya dengan taqwa akan dapat melihat kehebatan Allah.